Siapakah Ibnu al-Mubarak?


Sebahagian ulama dan orang-orang saleh telah bermimpi bertemu dengan Ibn al-Mubarak yang menunjukkan penerimaan Allah (s.w.t.) terhadap amalannya serta keredaan yang diperolehi.

Daripada Muhammad ibn Fudayl ibn c'Iyad, katanya: “Aku telah melihat Ibn al-Mubarak dalam mimpiku, maka aku bertanya: Amalan ibadat apakah yang kamu dapati paling afdal? Ibn al-Mubarak menjawab: Amalan yang telah aku lakukan dahulu. Aku bertanya lagi: Jihad fisabillah? Ibn al-Mubarak menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Apa yang telah diperbuat kepada kamu? Ibn al-Mubarak menjawab: Dikurniakan kepadaku pengampunan dan maghfirah, dan para bidadari syurga telah bercakap-cakap denganku (al-Baghdadi 1997, 10:166).”

            Begitu juga Sakhr ibn Rashid, telah melihat Ibn al-Mubarak dalam mimpi selepas kewafatannya. Aku bertanya kepadanya: Bukankah kamu telah meninggal dunia? Ibn al-Mubarak menjawab: Ya, memang aku telah mati. Aku bertanya lagi. Apa yang telah diperbuat kepadamu oleh Tuhanmu? Ibn al-Mubarak menjawab: Semua dosa-dosaku telah diampunkan. Aku bertanya lagi: Macam mana dengan keadaan Sufyan al-Thawri? Ibn al-Mubarak menjawab dengan membacakan ayat al-Quran yang bermaksud: Bersama dengan mereka yang telah diberikan nikmat oleh Allah (s.w.t.) di kalangan para nabi, orang-orang yang siddiq, para shuhada' dan juga orang-orang saleh dan mereka itulah teman-teman yang sebaiknya (al-Nisa', 4:69) (al-Baghdadi 1997, 10:166).

Zakariyya ibn cUday berkata: “Aku telah melihat Ibn al-Mubarak dalam mimpiku, justeru lantas bertanya: Apakah yang telah Allah (s.w.t.) perbuat kepadamu? Ibn al-Mubarak mencoret: Allah telah mengampunkan aku disebabkan usahaku dalam hadith (Muhammad cUthman 1990, 1:290).” Menurut Abu Hatim al-Firabri, beliau melihat Ibn al-Mubarak dalam mimpinya sedang berdiri di hadapan pintu syurga sambil memegang kunci yang diberikan oleh Rasulullah untuk berjumpa Allah. Sesungguhnya Allah berfirman kepada beliau: “Jadilah kamu Aminku (pemegang amanah) di langit, sebagaimana kamu menjadi Aminku (pemegang amanah) di dunia” (al-Dhahabi 2001, 8:414).

Al-Faryabi menceritakan perkara yang hampir sama iaitu bermimipi melihat Rasulullah (s.a.w.)  dan aku bertanya: Apa yang dibuat oleh Ibn al-Mubarak? Rasulullah (s.a.w.) menjawab: Bersama dengan mereka yang telah diberikan nikmat oleh Allah (s.w.t.) dikalangan para nabi, orang-orang yang siddiq, para shuhada' dan juga orang-orang saleh dan mereka itulah teman-teman yang sebaiknya  (al-Baghdadi 1997, 10:167). Sebahagian orang saleh[1] mendengar suara dalam mimpi mereka yang menyebut: cAbd Allah ibn al-Mubarak berada di syurga yang paling tinggi. Daripada Ahmad ibn Yusuf al- Faryabi, beliau berkata: “Aku bermimpi melihat Rasulullah (s.a.w.), bersamanya Sufyan al-Thawri. Aku bertanya: Wahai Rasulullah, Muscar ibn Kidam telah meninggal dunia. Rasulullah (s.a.w.) menjawab: Ya, rohnya telah diterima penduduk langit. Aku bertanya lagi: Apa yang telah dibuat oleh Hammad ibn Salamah? Baginda menjawab: Bersama dengan mereka yang telah diberikan nikmat oleh Allah (s.w.t.) dikalangan para nabi, orang-orang yang siddiq, para shuhada' dan juga orang-orang saleh dan mereka itulah teman-teman yang sebaiknya. Aku bertanya lagi: Apa yang dibuat oleh Hammad ibn Zayd? Baginda menjawab: Bersama dengan para muqarrabin. Aku bertanya lagi, apa yang telah dibuat oleh Ibn al-Mubarak? Baginda menjawab: Jauh...jauh sekali, Ibn al-Mubarak lebih tinggi kedudukannya daripada mereka yang disebutkan tadi (Muhammad cUthman 1990, 1:291).”

            Kemungkinan perkara-perkara inilah yang menjadikan Ibn al-Mubarak membuka mata menjelang kematian selepas melihat apa yang dikurniakan Allah kepada beliau. Semoga Allah merahmati Ibn al-Mubarak. Alangkah benarnya kata penyair (Muhammad cUthman 1990, 1:291) :

Seorang yang cantik wajahnya di dunia ketika hidup,
Selepas kematian, kecantikan pada ilmu dan sejarahnya

Sehubungan itu, timbal balik melalui pengorbanan yang dicurahkan terhadap Islam, memberi inspirasi kepada setiap yang memandang, walaupun sekadar melintasi pusara beliau. Ketunjangan ini sebagaimana syair yang dialunkan (al-Dhahabi 2001, 8:419):

Aku melalui kubur Ibn al Mubarak pada suatu pagi,
Maka cukuplah sekadar itu menjadi peringatan kepadaku, tanpa Ibn al- Mubarak berkata-kata,
Sesungguhnya aku kaya dengan ilmu dalam dadaku,
Dan juga uban-uban yang tumbuh di segenap kepala dan badanku,
Akan tetapi, aku melihat peringatan itu memberi faedah dan peringatan kepada orang yang berakal,
Jika peringatan itu datang daripada lelaki-lelaki yang saleh.




[1]Tidak disebutkan secara jelas, nama yang terlibat.